Wednesday, November 24, 2010

SURAT CINTA


Skrip ke 33

Tajuk Drama : SURAT CINTA
Skrip Oleh: Adza Irdawati, Adza Nasyaemie & Martias Mohd Ali
Pengarah: En Jurey Rosli
Syarikat Penerbitan: World Evolution Brain (WEB)
Siaran: RTM2 (2010)

SiNOPSIS

10 tahun yang lampau, ada 3 sahabat baik menetap di sebuah kampung. Umur mereka di sekitar 16 tahun dan masih bersekolah. Iman seorang yang pemalu dan takut dengan perempuan. Sunil seorang berbadan gemuk dan kuat makan manakala Bakar @ Burn seorang mat bunga dan ulat buku. Setiap pagi mereka ke sekolah menaiki sebuah bas yang biasa mereka naiki, dan di situ kisah mereka bermula.

Wati merupakan anak ketua kampung yang jelita dan menjadi perhatian ramai yang seusia mereka. Namun Wati merupakan seorang yang pendiam dan mudah tersenyum. Ia berkawan baik dengan Chomel seorang gadis yang berbadan besar. Setiap pagi Iman, Sunil dan Burn akan menaiki bas yang sama menuju ke sekolah.

Dalam diam-diam Iman jatuh hati pada Wati sehingga ia meminta Burn mengarangkan sebuah surat cinta untuk Wati. Di dalam surat cinta tersebut Iman berazam mahu menjadikan Wati isterinya suatu hari nanti. Iman meminta Sunil memasukan surat cinta tersebut ke dalam beg Wati. Namun dengan tidak sengaja Sunil telah memasukan surat tersebut ke dalam beg kepunyaan Chomel.

Chomel pula memang gemar membuli Iman dan mempermainkan Iman. Namun semenjak Chomel mendapat surat tersebut, ia cuba merapati Iman walaupun Iman sebenarnya memberikan perhatian kepada Wati.

Iman beranggapan bahawa Wati telah membaca surat tersebut menerima “cintanya” itu. Keyakinan tersebut semakin menebal apabila Wati semakin rapat dengan Iman. Di dalam surat tersebut Iman akan menunggu Wati di perhentian bas yang sama 10 tahun akan datang.

Namun pada hakikatnya Chomel seperti mendapat semangat baru apabila ada insan yang menaruh hati padanya. Chomel terus menanam tekat bahawa Iman adalah calon suaminya akan datang.

10 tahun berlalu. Iman tidak berjaya di dalam pelajaran dan bekerja sebagai seorang penghantar surat. Burn menjadi seorang peguam yang disegani manakala Sunil pula bekerja sebagai seorang jurusolek artis.

Wati kini menjadi seorang penyanyi popular. Pertemuan tidak sengaja antara Wati dan Burn di sebuah majlis telah menyebabkan Burn jatuh hati kepada Wati. Iman hanya tersenyum dan tidak merasa apa-apa kerana ia telah melupakan “cinta monyetnya” dahulu. Burn sering keluar bersama Wati dan semakin hari Burn menyimpan azam untuk melamar Wati.

Namun pada satu hari, Iman telah didatangi sepucuk surat misteri yang mengandungi salinan surat cintanya yang pertama yang pernah dihantar kepada Wati 10 tahun yang lampau. “Wati” begitu mengharapkan bahawa Iman mengotakan janjinya dahulu. Kini Iman di persimpangan dilema kerana takut Burn akan kecewa setelah Burn kini benar-benar gila bayang.

Hari demi hari Iman semakin gelisah memandangkan hari yang mereka janjikan bersamaan dengan hari Burn berhasrat untuk melamar Wati.

Sunil pula baru menyedari bahawa ia masih menyembunyikan rahsia kesilapan surat tersebut selama 10 tahun. Sunil akhirnya menceritakan bahawa surat tersebut sebenarnya telah tersalah penerima. Sunil mengambil keputusan untuk menemui Chomel dan menceritakan perkara sebenarnya.

Keberanian Sunil bertemu “Chomel” telah menyebabkan “Chomel” jatuh hati kepada Sunil. Namun secara tiba-tiba Iman mulai menyedari bahawa sewaktu mereka bersekolah dahulu, dia dan Chomel begitu mesra dan sering membuatkan mereka gembira. Barulah Iman menyedari bahawa selama ini hatinya telah terpaut pada Chomel.

Iman kini bakal kehilangan Wati dan Chomel. Namun di dalam hatinya ia lebih sanggup melepaskan Wati daripada mengecewakan Chomel. Iman lantas meminta Sunil memutuskan perhubungannya dengan Chomel dan menyebabkan Sunil meradang.

Namun atas dasar persahabatan Sunil mengambil keputusan untuk berpisah dengan Chomel bagi memberi laluan kepada Iman dan menyebabkan Iman terharu. Iman baru menyedari bahawa Sunil merupakan sahabat sejatinya dan dia pula meminta maaf atas sifat buruknya itu.

Wati dan Burn menanti hari persandingan begitu juga dengan Chomel dan Sunil. Iman pasrah dan balik ke kampung. Dia kemudian duduk di perhentian bas menggamit nostalgia silam. Tiba-tiba bas sekolah lama yang pernah ia naiki dahulu tiba dan pemandu tersebut menyuruh ia naik.

Di dalam bas tersebut seorang gadis duduk di kerusi yang pernah Chomel monopoli dahulu. Gadis tersebut mengeluarkan perkataan yang sering “Chomel” gunakan bagi menyakat Iman suatu masa dahulu. Rupanya “Chomel” yang kini bersama Sunil adalah adik kepada Chomel yang pernah mereka gelarkan Gebu.

Chomel meminta Gebu mengambil tempatnya dan menyamar menjadi dirinya kerana dia tidak yakin dengan dirinya yang masih berbadan besar

Chomel membuat keputusan itu kerana dia tidak mahu menghampakan Iman yang mungkin menyimpan harapan selama 10 tahun untuk bertemu dengan seorang gadis jelita manakala bentuk badannya masih seperti masa zaman remajanya dahulu.

Akhirnya surat cinta yang membawa banyak kekeliruan telah menemukan dan menyatukan kesemua mereka semula.


No comments: