Tajuk Drama : NEK NAK (Musim ke2)
Genre : Seram
Skrip oleh : Adza Irdawati & Martias Mohd Ali
Pelakon : Wan Maimunah, Zaidi Omar, Balqish Samundur Khan,
Rose Iskandar , Mimi Rahziah dll
Penerbit : Jurey Rosli
Siaran : ASTRO RIA (2008)
Drama bersiri Nek Nak merupakan sebuah drama bersiri seram yang diambil dari sebuah kisah sebenar. Drama ini telah mendapat sambutan yang hangat dan mendapat rating yang tinggi apabila ditayangkan di ASTRO RIA pada tahun 2008 sehingga disambung untuk musim kedua.
SINOPSIS NEK NAK
Kisah bermula apabila Zaleha melangsungkan perkahwinan dengan jejaka yang sangat dicintainya iaitu Abdul. Mereka melayari kehidupan berumahtangga dengan bahagia sekali. Dan kebahagian mereka memuncak apabila Zaleha didapati mengandung.
Abdul yang terlalu sukakan kanak kanak tidak sabar untuk menimang cahayamata pertama mereka itu. Pada satu hari, Zaleha yang semakin sarat itu memberitahu Abdul bahawa dia merasakan seolah olah anak yang sedang dikandungnya itu amat mengidamkan buah duku yang ditanam dirumah ibubapanya dikampung, Abdul tanpa membuang masa, terus kekampung mertuanya itu untuk mendapatkan buah yang sedang diidamkan oleh isteri yang amat dicintainya itu.
Tetapi bak kata pepatah, diharap panas hingga kepetang namun hujan di tengahhari. Abdul telah menemui kecelakaan dan telah meragut nyawanya semasa dalam perjalanannya pulang kerumah. Berita sedih itu akhirnya telah sampai kepada Zaleha.
Kini Zaleha seakan hilang semangat untuk meneruskan hidupnya. Zaleha menghabiskan masanya dengan meratapi pemergian suaminya itu. Ramai orang kampung yang prihatin akan nasib yang telah menimpa Zaleha itu. Tidak putus putus kata kata semangat dan harapan dicurahkan pada Zaleha untuk meneruskan hidup demi anak yang bakal dilahirkannya. Namun Zaleha yang seakan akan telah hilang pegangan imannya menyalahkan bayi yang dikandungnya itu sebagai sial dan punca dia kehilangan Abdul. Ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat Zaleha itu. Namun Zaleha terus dengan pendiriannya itu. Semakin hari semakin membesar bayi yang dikandung Zaleha, dan semakin membaralah kebencian Zaleha pada kandungannya itu.
Saat yang amat dibenci oleh Zaleha akhirnya datang jua. Kini dia sedang bertarung nyawanya untuk melahirkan anak. Bidan Piah membidankan Zaleha sehinggalah Zaleha selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Seperti jatuh ditimpa tangga, Zaleha akhirnya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada saat pertama bayi itu menangis.
Seluruh kampung menjadi kecoh dengan kematian Zaleha itu. Kini semua mempercayai kata kata Zaleha bahawa anak yang dilahirkan oleh Zaleha itu adalah sial. Tiada seorang pun saudara mara mahupun jiran tetangga yang mahu membela bayi itu kerana dikhuatiri nasib malang bakal menimpa mereka pula.
Bersimpati dengan nasib bayi itu, Bidan Piah yang tidak mempunyai sebarang zuriat itu mengambil keputusan untuk mengambil anak itu sebagai anak angkat. Kini bermulalah kehidupan bayi yang diberikan nama Nak, bersama Bidan Piah.
Kini Nak telah meningkat dewasa. Namun kisah lampau masih menghantuinya. Suara suara sumbang penduduk kampung yang menyatakan bahawa dia pembawa sial amat mengguris hatinya. Gadis gadis yang sebaya dengannya enggan berkawan dengannya. Begitu juga dengan jejaka kampung yang cuba menjauhkan diri dari Nak. Dan hampir kesemua penduduk kampung tanpa teragak agak menudingkan jari mereka kepada Nak sekiranya terjadi kejadian malang yang melanda penduduk kampung itu.Nak akhirnya sering bersendirian. Namun Ayop, seorang pemuda yang agak kacak dikampung itu tidak bersetuju dengan semua penduduk kampung. Baginya Nak bukan pembawa sial tetapi seorang gadis yang sedang diuji imannya oleh Allah s.w.t. Ayop berjaya menaikkan kembali semangat Nak untuk menjalani hidupnya. Dan tanpa diketahui oleh Ayop, dalam diam Nak memendam perasaan terhadapnya.
Pada satu hari yang indah, sebuah keluarga baru berpindah masuk kekampung mereka. Keluarga itu terdiri daripada Pak Abas dan Cik Saodah bersama satu satunya anak mereka Nur. Itu adalah antara hari gembira untuk Nak kerana Nur yang juga bersikap seperti Ayop tidak mahu mendengar tentang perkara pekara buruk tentang Nak. Malah Nur juga mahu menjalinkan persahabatan dengan Nak. Kini Nak Ayop dan Nur sebagai kawan kawan yang benar benar ikhlas mahu bersahabat dengannya.
Nak tidak dapat memendamkan lagi perasaan cinta yang terbit dari hatinya untuk Ayop. Dia akhirnya memberitahu Nur bahawa dia telah jatuh hati pada seseorang. Walaupun sering diasak dengan soalan oleh Nur tentang siapakah yang sedang bertahta dihati Nak itu, namun Nak berkeras tidak mahu memberitahu siapakah lelaki yang dimaksudkan itu sehinggalah dia benar benar pasti yang dia tidak bertepuk sebelah tangan. Tetapi apa yang tidak diketahui Nak adalah, Ayop telah jatuh hati pada Nur. Dan begitu juga sebaliknya.
Akhirnya hubungan cinta antara Ayop dan Nur terbongkar jua. Nak amat hampa dengan penemuannya itu. Nak merasakan dirinya telah dikhianati oleh orang yang sangat sangat dipercayainya. Kini Nak menjauhkan diri dari Ayop dan Nur.
Akhirnya Ayop mendirikan rumahtangga bersama Nur. Dan pada masa yang sama Nak yang sangat baik hati, penuh sopan santun, penuh budaya timur akhirnya telah bertukar kepada seorang wanita yang sangat pembenci dan pendendam. Nak berjanji pada dirinya untuk memusnahkan masjid yang telah dibina oleh Ayop dan Nur itu.
Bidan Piah yang sedih melihat akan nasib yang menimpa Nak akhirnya mencari jalan supaya Nak dapat melupakan masaalah yang dihadapinya itu. Bidan Piah cuba menyibukkan Nak dengan menurunkan semua ilmu ilmu yang berkaitan dengan perbidanan . Dan usaha Bidan Piah itu berjaya apabila Nak dapat mengalihkan perhatiannya pada bidang perbidanan. Namun apa yang tidak diketahui oleh Bidan Piah ialah Nak telah menyalah gunakan ajarannya itu untuk membalas dendamnya pada semua penduduk kampong yang selama ini sering mencaci, menghina dan kepada yang telah mengkhianati dirinya iaitu Ayop dan Nur.
Nak kini mencampur adukkan ilmu hitam dalam amalan perbidanannya. Nak dalam diam telah “membela” sejenis makluk untuk menampakkan dirinya sebagai seorang yang sangat cantik dan menarik. Semua jejaka yang dulunya telah mencercanya kini tergila gilakan Nak yang tampil dengan kecantikkan yang amat “luar biasa”. Sebagai balasan Nak akan “menjamu” makluk itu dengan uri bayi yang dibidankannya.
Bidan Piah yang dapat menghidu perbuatan terkutuk Nak itu akhirnya menggugut Nak untuk menghentikan perbuatannya. Akhirnya Bidan Piah telah dibunuh oleh makhluk yang dibela Nak. Amat marah dengan tindakan yang diambil oleh makluk yang dibelanya itu membuatkan Nak mahu menghapuskannya. Namun makluk itu lebih pantas dan terus merasuk Nak.
Kampung itu kini kecoh dengan pembunuhan Bidan Piah . Semua penduduk menuduh Nak telah membunuh ibu angkatnya itu. Setelah berkumpul mereka berbincang untuk memburu mencari nak untuk menuntut keadillan.Namun mereka semua terkejut apabila “Nak” mulai mengamuk dan telah membunuh ramai penduduk kampung itu. Tanpa penduduk kampung itu sedari bahawa Nak kini dibawah kuasa makluk halus yang telah merasuknya.Ketua kampung kini memanggil Ustaz Zali untuk menghentikan amukan Nak itu. Dan dalam pertarungan antara ilmu hitam dan bacaan ayat ayat suci Al Quran dari Ustaz Zali akhirnya Nak dapat ditumpaskan. Nak akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Namun tiada sesiapa pun yang tahu bahawa kini makhlus halus yang dahulu bertuankan Nak kini mencari tuan yang baru. Dan selagi dia tidak bertuan maka selama itu juga penduduk kampung itu akan “diganggunya” dengan menyamar sebagai Nek Nak.
Terbitan dan Arahan yang sangat mantap dari Pemenang Pengarah terbaik iaitu En Jurey Rosli.
No comments:
Post a Comment