Wednesday, December 22, 2010

Drama Bersiri "SONGKOK"


Skrip ke 58

Tajuk Drama: SONGKOK
Durasi: 13 episod
Pengarah: Jurey Rosli
Penulis Skrip:Martias Ali, MF Kencana, Adza Nasyaemie & Adza Irdawati Adenan
Pelakon:Mubarak Majid, Zieg Koo, Collan Koo, Yus Waizar, Hasnol, Mandi Chong dll
Terbitan: World Evolution Brain Sdn Bhd

“SONGKOK” mengisahkan tentang kehidupan Mustafa yang merupakan seorang pembuat songkok tradisional . Namun tiada seorangpun dari zuriatnya yang mahu diperturunkan bakatnya itu. Arus pemodenan dan cara pemikiran anak anaknya yang kaya dengan IT membuatkan mereka alpa dan lupa bahawa jasa songkoklah yang membesarkan dan memberi mereka pelajaran hinggalah dapat mengenal dunia yang serba canggih yang menjadi teras hidup mereka kini. Namun Mustafa tidak berdendam malah jauh sekali berkecil hati dengan sikap anak anaknya itu. Cuma rasa terkilan tetap ada.

Chong Lee rakan sedari zaman mudanya amat memahami perasaan temannya itu. Dia tahu bertapa bermaknanya songkok pada Mustafa. Dia juga tahu bertapa kerana songkok buatan tangan Mustafa itu juga telah menyelamatkan nyawanya suatu masa dahulu.
Gerai songkok Mustafa lengang, sepi, sesepi surau dikampung yang diduduki Mustafa dan isterinya Ziaton itu. Hanya segelintir golongan tua yang memenuhi jemaah disurau itu. Dan kebanyakan warga belia seperti anak anak Mustafa, Daris dan Iwan yang telah berhijrah kebandar bagi mengejar kehidupan yang lebih menjamin masa hadapan mereka atau sebenarnya mengejar materialistik dan kebendaan. Kini yang tinggal bersama Mustafa dan Ziaton hanyalah anak tunggal perempuan mereka iaitu Zara. Zara yang sedang belajar ditingkatan lima juga turut berikrar untuk menjejak langkah seperti abang abangnya untuk meninggalkan kampung dan mahu bergelar warga kota . Dia agak malu dengan karenah ayahnya yang sering bercakap dan menceritakan kisah kisah merdeka kepada setiap orang yang ditemuinya. Ini kerana dibelakang Mustafa ramai yang mencemuhnya. Kerana mereka yang mendengar kisah merdeka dari Mustafa tidak dapat menghubung kaitkan antara merdeka dan seorang pembuat songkok seperti Mustafa.

Tanpa diduga anak Chong Lee, Chong Wu atau lebih senang dipanggil Wu seakan jatuh cinta dengan seni membuat songkok yang halus lagi teliti oleh mustafa itu. Setelah berkali kali Chong Lee memujuk teman rapatnya agar menerima Wu sebagai anak muridnya akhirnya Mustafa bersetuju. Maka bermulalah hidup Wu sebagai pembuat songkok. Ramai teman Wu mencemuh Wu kerana berjinak dalam bidang yang jauh tersasar dari budaya dan kepercayaan mereka itu. Namun Wu tidak memperdulikan kata kata hinaan mereka itu. Jauh disidut hatinya, Wu sedar bertapa dia dan terutama sekali bapanya terhutang nyawa pada Mustafa dan songkoknya itu.

Pada satu malam tanpa diduga, Daris dan Iwan pulang kerumah Mustafa. Tujuan mereka Cuma satu, iaitu untuk membawa Mustafa, Ziaton dan Zara tinggal bersama mereka dibandar. Daris dan Iwan menyatakan mereka mahu membalas budi ayah mereka dan mahu ibubapa serta adik kesayangan mereka mengecapi kemewahan yang dinikmati mereka di ibukota itu. Namun niat murni mereka itu tidak dipersetujui oleh Mustafa. Kerana berpindah keibukota bermakna tamatlah kerjanya sebagai pembuat songkok di gerainya itu. Marah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mustafa yang lebih mengutamakan songkok dan gerainya lebih daripada anak anaknya, membuatkan Daris dan Iwan keluar dari rumah . Ziaton dan Zara cuba memujuk Mustafa namun usaha mereka sia sia. Mustafa bertegas bahawa membuat songkok adalah hidupnya. Dan dia tidak sekali kali akan meninggalkan apa yang telah sebati dengan hidupnya selama ini.
Daris dan Iwan berjalan tanpa arah tuju di kawasan kampung mereka itu. Akhirnya mereka bertemu dengan Chong Lee di satu simpang. Lalu Chong Lee menjemput Daris dan Iwan kerumahnya.

Sementara itu, di hadapan rumah Mustafa kedengaran riuh rendah suara anak anak muda yang menghabiskan waktu mereka dengan gejala rempit. Mustafa kesal melihat sikap anak anak muda dikampungnya itu. Oleh kerana tidak tahan dengan bunyi deruman enjin enjin motor mereka yang saban malam menjadikan jalan diahadapan rumah Mustafa sebagai tapak permulaan lumba haram mereka, maka Mustafa nekad dan terus berhadapan dengan mereka. Mustafa menyedarkan mereka bahawa negara memerlukan tenaga belia seperti mereka untuk mencapai kegemilangan dan kedaulatan negara pada masa hadapan. Mustafa juga nekad akan memberitahu akan aktiviti yang mereka jalankan saban malam kepada ibubapa mereka masing masing sekiranya masih mahu meneruskan kerja sia sia mereka itu. Ini membuatkan mereka marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan Mustafa itu.

Di rumah Chong Lee, Daris dan Iwan meluahkan perasaan mereka kepada Chong Lee . Mereka tidak faham kenapa ayah mereka lebih mengutamakan songkok dari segalanya. Akhirnya Chong Lee menceritakan segala galanya kepada Daris dan Iwan.

Chong Lee menceritakan bahawa suatu masa dahulu dia adalah seorang komunis . Dan dia melarikan diri dari militant itu kerana tidak setuju dengan fahaman songsang mereka. Chong Lee menjadi orang buruan dan dikehendaki dibunuh oleh ketua komunis kerana telah dianggap pengkhianat. Chong Lee akhirnya ditemui lalu ditembak oleh bekas pasukan komunisnya. Dengan luka yang parah, Chong Lee menggagahi dirinya untuk melarikan diri dengan masuk kedalam sebuah surau. Dan disitulah merupakan saat pertama Chong Lee dan Mustafa bertemu. Tanpa mengira fahaman, bangsa mahupun agama, Mustafa menyelamatkan Chong Lee dari dibunuh oleh komunis yang mulai mencarinya didalam surau itu dengan memakaikannya songkok miliknya kepada Chong Lee. Dengan penyamaran itu akhirnya dapat mengaburi mata komunis dan mereka akhirnya berlalu dari situ. Chong Lee terhutang budi dan nyawa kepada Mustafa. Dan pertolongan Mustafa tidak terhenti disitu sahaja. Takut keluarganya mendapat bahaya, akhirnya Mustafa mengambil keputusan untuk merawat luka Cong Lee di gerai songkoknya dan bukan dirumahnya. Maka bermula dari situ satu ikatan persahabatan mula bersemi di kedai songkok itu.

Dan di satu kejadian lain pula, Chong Lee menceritakan kepada Daris dan Iwan bagaimana Mustafa meminta derma kepada seluruh penduduk kampung bagi menjayakan perjalanan Tuanku Abdul Rahman untuk ke London bagi menuntut kemerdekaan. Chong Lee juga turut sama dalam membantu rakan karibnya itu. Akhirnya Mustafa dan Chong Lee dapat mengumpul sejumlah wang dan oleh kerana bag yang diisi wang koyak maka Mustafa memasukkan semua wang yang dikumpulnya bersama Chong Lee kedalam songkok yang pernah digunakannya untuk menyelamatkan nyawa Chong Lee dahulu. Mustafa menyerahkan songkok berisi wang itu kepada salah seorang orang kanan kepada Tuanku Abdul Rahman.

Tanpa disangka, gambar Tuanku Abdul Rahman yang terpampang di muka hadapan surat khabar itu sedang mengenakan songkok milik Mustafa yang diserahkan olehnya kepada orang kanan Tuanku suatu masa dahulu. Tambah mengejutkan Mustafa apabila dia menerima surat dari Tuanku Abdul Rahman. Namun surat itu tidak pernah ditunjukkan kepada sesiapapun oleh Mustafa termasuk Chong Lee mahupun seluruh keluarga Mustafa hingga kini.

Mendengar kisah kisah kehebatan ayah mereka bersama songkoknya membuatkan Daris dan Iwan sedar bertapa bermaknanya songkok dalam hidup ayah mereka. Daris dan Iwan mulai insaf.
Kumpulan mat rempit akhirnya menunjukkan rasa protes mereka pada Mustafa dengan cara membakar kedai songkok milik Mustafa. Akhirnya berita kebakaran itu tiba juga ditelinga Mustafa. Dengan cemas Mustafa tiba dikedainya yang hampir separuh dijilat api. Mustafa sedih melihat bencana yang menimpa kedainya itu. Namun seraya teringatkan sesuatu yang berharga yang berada dalam kedainya itu, Mustafa tanpa berfikir panjang terus merempuh masuk kedalam kedai itu. Wu yang melihat keadaan itu terus cuba menyelamatkan Mustafa lalu turut sama masuk kedalam kedai yang semakin dijilat api itu.
Chong Lee, Daris, Iwan, Ziaton, Zara dan orang kampung tiba kemudian ditempat kejadian dan masing masing cuba membantu. Namun sudah terlambat apabila mereka terlihat Wu membawa keluar sekujur tubuh yang tidak bernyawa lagi iaitu mayat Mustafa yang kelihatan sedang memeluk songkok yang hampir terbakar hangus ditangannya. Daris , Iwan , Ziaton, Zara, Chong Lee meratapi kematian Mustafa itu. Wu menyatakan bahawa Mustafa mahu menyelamatkan songkok kesayangannya dari terbakar namun akhirnya telah mengakibatkan dirinya yang terkorban.

Setelah selesai upacara pengkebumian Mustafa kesemua yang hadir semakin beransur pulang dan hanya meninggalkan anak anak dan isteri Mustafa di sisi kubur Mustafa itu. Daris menangis sambil memeluk songkok yang cuba diselamatkan oleh arwah ayahnya itu. Namun tiba tiba sepucuk surat jatuh dari dalam songkok itu. Kesemua mereka hairan. Daris membuka perlahan surat itu lalu membacanya. Dia terkejut apabila mendapati surat itu datangnya dari Tuanku Abdul Rahman yang menyatakan terima kasih kepada Mustafa kerana bantuan dan sokongan yang diberikan oleh Mustafa. Dan beliau menyatakan bahawa beliau berbangga bahawa seorang pembuat songkok seperti Mustafa sanggup berjuang bersamanya memerdekakan tanah melayu dari terus dijajah.
... ...

1 comment:

hamzah ian said...

meremang bulu roma ketika baca ni kak..

gud job