Wednesday, December 1, 2010

KLON TEJA


Skrip Ke 41

Tajuk Drama: KLON TEJA
Durasi: 26 Episod X 1 jam
Cerita Asal: Mohd Najib Redzuan , Neo Anderson
Genre : Futuristik
Skrip Oleh : Adza Irdawati, Martias Ali, Adza Nasyaemie & Fairuz Padoli
Terbitan : Hans Isaac - TALL ORDER SDN BHD
Pelakon : Nazim, Umi Nazeera, Anding AF dan Balkisyh dll
Arahan: Khalid Shamsuri @ Arab
Siaran: Astro Prima ( July 2009)

Drama bersiri 26 episod ini menampilkan empat hero yang masing-masing memiliki kuasa luar biasa

KEBELAKANGAN ini bagaikan sudah menjadi trend buat syarikat produksi tempatan menghasilkan drama bersiri yang mengetengahkan unsur adiwira dan kuasa ajaib sebagai inti pati cerita. Terbaru, syarikat Tall Order Productions, milik pelakon, penerbit dan pengarah Hans Isaac juga menerbitkan drama berkonsepkan serupa berjudul Klon Teja.

Drama bersiri 26 episod ini arahan Khalid Shamsuri atau Arab ini menampilkan empat watak utama yang kesemuanya memiliki kuasa luar biasa. Zack memiliki kuasa pendengaran yang tajam apabila dia mampu mendengar suara bisikan hati manusia. Hana pula memiliki kuasa penglihatan yang mampu melihat sesuatu yang terselindung dari pandangan manusia.

Yasmin pula berupaya mengawal pergerakan dengan hanya menyentuh objek berkenaan. Manakala Hairy pula mampu merubah rupa bentuknya menjadi orang lain. Begitulah hebatnya siri adiwira versi tempatan ini yang secara tidak langsung mengingatkan kita kepada siri Heroes yang mendapat sambutan cukup hebat di kalangan masyarakat dunia.

Justeru, dengan penghasilan drama ini apakah Klon Teja ini sebenarnya Klon kepada siri Heroes yang kini sudah pun memasuki musim ketiga.

Menjawab pertanyaan ini, Hans berkata Klon Teja tidaklah meniru seratus peratus drama bersiri dari Barat itu kerana antara Klon Teja dan Heroes memang banyak perbezaannya.

“Pun begitu saya tak nafikan yang idea menampilkan watak utama yang mempunyai kuasa luar biasa itu memang diilhamkan daripada drama popular itu. Jujurnya, saya memang peminat setia siri itu dan pernah terdetik dalam hati untuk menghasilkan drama seperti itu andai diberi peluang.

“Justeru apabila idea untuk menghasilkan drama ini diterima pihak Astro Prima maka muncullah Klon Teja. Namun, seperti yang saya tegaskan tadi, hanya konsep superhero saja yang sama manakala dari segi jalan cerita, ia memang berbeza kerana lebih bercirikan tempatan.

“Siri Heroes menampilkan bagaimana mereka menggunakan kuasa ajaib mereka untuk menyelamatkan dunia. Manakala Klon Teja lebih kepada bagaimana mereka menentang individu yang tamak,” jelas Hans pada sidang media pelancaran produksi Klon Teja dan majlis hari raya Aidilfitri di Solaris Mont Kiara, petang kelmarin.

Hadir sama, pengurus saluran Astro Prima, Khairul Anwar Salleh serta pelakon drama berkenaan iaitu Nazim Othman, Balkisyh Semundur Khan, Umi Nazeera, Anding, Shaharuddin Thamby, Along Raja Lawak, Akma Hisyam, Mandy Chong dan Lan Zailan.

Memandangkan drama ini mengetengahkan tema adiwira, Hans berkata mereka juga akan menggunakan teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI) untuk menjadikan sesetengah babak itu nampak hidup
“Penggunaan CGI dalam drama ini adalah sebanyak 20 peratus dan selebihnya kami menggunakan teknik kesan khas.Bagaimanapun, kami tidak mempunyai masalah kerana syarikat kami mengadakan kerjasama dengan syarikat lain untuk membantu dari segi penggunaan CGI ini,” ujar Hans sambil memberitahu selain Kuala Lumpur sebagai lokasi utama, drama ini juga akan menjalani penggambaran di Melaka untuk disesuaikan dengan jalan ceritanya.

Drama tulisan Mohd Najib Redzuan,Martias Ali, Adza Irdawati dan Adza Nasyaemie ini akan memulakan penggambarannya 11 Oktober depan.

1 comment:

Anonymous said...

hi, new to the site, thanks.