Wednesday, December 22, 2010

Drama Bersiri "SONGKOK"


Skrip ke 58

Tajuk Drama: SONGKOK
Durasi: 13 episod
Pengarah: Jurey Rosli
Penulis Skrip:Martias Ali, MF Kencana, Adza Nasyaemie & Adza Irdawati Adenan
Pelakon:Mubarak Majid, Zieg Koo, Collan Koo, Yus Waizar, Hasnol, Mandi Chong dll
Terbitan: World Evolution Brain Sdn Bhd

“SONGKOK” mengisahkan tentang kehidupan Mustafa yang merupakan seorang pembuat songkok tradisional . Namun tiada seorangpun dari zuriatnya yang mahu diperturunkan bakatnya itu. Arus pemodenan dan cara pemikiran anak anaknya yang kaya dengan IT membuatkan mereka alpa dan lupa bahawa jasa songkoklah yang membesarkan dan memberi mereka pelajaran hinggalah dapat mengenal dunia yang serba canggih yang menjadi teras hidup mereka kini. Namun Mustafa tidak berdendam malah jauh sekali berkecil hati dengan sikap anak anaknya itu. Cuma rasa terkilan tetap ada.

Chong Lee rakan sedari zaman mudanya amat memahami perasaan temannya itu. Dia tahu bertapa bermaknanya songkok pada Mustafa. Dia juga tahu bertapa kerana songkok buatan tangan Mustafa itu juga telah menyelamatkan nyawanya suatu masa dahulu.
Gerai songkok Mustafa lengang, sepi, sesepi surau dikampung yang diduduki Mustafa dan isterinya Ziaton itu. Hanya segelintir golongan tua yang memenuhi jemaah disurau itu. Dan kebanyakan warga belia seperti anak anak Mustafa, Daris dan Iwan yang telah berhijrah kebandar bagi mengejar kehidupan yang lebih menjamin masa hadapan mereka atau sebenarnya mengejar materialistik dan kebendaan. Kini yang tinggal bersama Mustafa dan Ziaton hanyalah anak tunggal perempuan mereka iaitu Zara. Zara yang sedang belajar ditingkatan lima juga turut berikrar untuk menjejak langkah seperti abang abangnya untuk meninggalkan kampung dan mahu bergelar warga kota . Dia agak malu dengan karenah ayahnya yang sering bercakap dan menceritakan kisah kisah merdeka kepada setiap orang yang ditemuinya. Ini kerana dibelakang Mustafa ramai yang mencemuhnya. Kerana mereka yang mendengar kisah merdeka dari Mustafa tidak dapat menghubung kaitkan antara merdeka dan seorang pembuat songkok seperti Mustafa.

Tanpa diduga anak Chong Lee, Chong Wu atau lebih senang dipanggil Wu seakan jatuh cinta dengan seni membuat songkok yang halus lagi teliti oleh mustafa itu. Setelah berkali kali Chong Lee memujuk teman rapatnya agar menerima Wu sebagai anak muridnya akhirnya Mustafa bersetuju. Maka bermulalah hidup Wu sebagai pembuat songkok. Ramai teman Wu mencemuh Wu kerana berjinak dalam bidang yang jauh tersasar dari budaya dan kepercayaan mereka itu. Namun Wu tidak memperdulikan kata kata hinaan mereka itu. Jauh disidut hatinya, Wu sedar bertapa dia dan terutama sekali bapanya terhutang nyawa pada Mustafa dan songkoknya itu.

Pada satu malam tanpa diduga, Daris dan Iwan pulang kerumah Mustafa. Tujuan mereka Cuma satu, iaitu untuk membawa Mustafa, Ziaton dan Zara tinggal bersama mereka dibandar. Daris dan Iwan menyatakan mereka mahu membalas budi ayah mereka dan mahu ibubapa serta adik kesayangan mereka mengecapi kemewahan yang dinikmati mereka di ibukota itu. Namun niat murni mereka itu tidak dipersetujui oleh Mustafa. Kerana berpindah keibukota bermakna tamatlah kerjanya sebagai pembuat songkok di gerainya itu. Marah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mustafa yang lebih mengutamakan songkok dan gerainya lebih daripada anak anaknya, membuatkan Daris dan Iwan keluar dari rumah . Ziaton dan Zara cuba memujuk Mustafa namun usaha mereka sia sia. Mustafa bertegas bahawa membuat songkok adalah hidupnya. Dan dia tidak sekali kali akan meninggalkan apa yang telah sebati dengan hidupnya selama ini.
Daris dan Iwan berjalan tanpa arah tuju di kawasan kampung mereka itu. Akhirnya mereka bertemu dengan Chong Lee di satu simpang. Lalu Chong Lee menjemput Daris dan Iwan kerumahnya.

Sementara itu, di hadapan rumah Mustafa kedengaran riuh rendah suara anak anak muda yang menghabiskan waktu mereka dengan gejala rempit. Mustafa kesal melihat sikap anak anak muda dikampungnya itu. Oleh kerana tidak tahan dengan bunyi deruman enjin enjin motor mereka yang saban malam menjadikan jalan diahadapan rumah Mustafa sebagai tapak permulaan lumba haram mereka, maka Mustafa nekad dan terus berhadapan dengan mereka. Mustafa menyedarkan mereka bahawa negara memerlukan tenaga belia seperti mereka untuk mencapai kegemilangan dan kedaulatan negara pada masa hadapan. Mustafa juga nekad akan memberitahu akan aktiviti yang mereka jalankan saban malam kepada ibubapa mereka masing masing sekiranya masih mahu meneruskan kerja sia sia mereka itu. Ini membuatkan mereka marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan Mustafa itu.

Di rumah Chong Lee, Daris dan Iwan meluahkan perasaan mereka kepada Chong Lee . Mereka tidak faham kenapa ayah mereka lebih mengutamakan songkok dari segalanya. Akhirnya Chong Lee menceritakan segala galanya kepada Daris dan Iwan.

Chong Lee menceritakan bahawa suatu masa dahulu dia adalah seorang komunis . Dan dia melarikan diri dari militant itu kerana tidak setuju dengan fahaman songsang mereka. Chong Lee menjadi orang buruan dan dikehendaki dibunuh oleh ketua komunis kerana telah dianggap pengkhianat. Chong Lee akhirnya ditemui lalu ditembak oleh bekas pasukan komunisnya. Dengan luka yang parah, Chong Lee menggagahi dirinya untuk melarikan diri dengan masuk kedalam sebuah surau. Dan disitulah merupakan saat pertama Chong Lee dan Mustafa bertemu. Tanpa mengira fahaman, bangsa mahupun agama, Mustafa menyelamatkan Chong Lee dari dibunuh oleh komunis yang mulai mencarinya didalam surau itu dengan memakaikannya songkok miliknya kepada Chong Lee. Dengan penyamaran itu akhirnya dapat mengaburi mata komunis dan mereka akhirnya berlalu dari situ. Chong Lee terhutang budi dan nyawa kepada Mustafa. Dan pertolongan Mustafa tidak terhenti disitu sahaja. Takut keluarganya mendapat bahaya, akhirnya Mustafa mengambil keputusan untuk merawat luka Cong Lee di gerai songkoknya dan bukan dirumahnya. Maka bermula dari situ satu ikatan persahabatan mula bersemi di kedai songkok itu.

Dan di satu kejadian lain pula, Chong Lee menceritakan kepada Daris dan Iwan bagaimana Mustafa meminta derma kepada seluruh penduduk kampung bagi menjayakan perjalanan Tuanku Abdul Rahman untuk ke London bagi menuntut kemerdekaan. Chong Lee juga turut sama dalam membantu rakan karibnya itu. Akhirnya Mustafa dan Chong Lee dapat mengumpul sejumlah wang dan oleh kerana bag yang diisi wang koyak maka Mustafa memasukkan semua wang yang dikumpulnya bersama Chong Lee kedalam songkok yang pernah digunakannya untuk menyelamatkan nyawa Chong Lee dahulu. Mustafa menyerahkan songkok berisi wang itu kepada salah seorang orang kanan kepada Tuanku Abdul Rahman.

Tanpa disangka, gambar Tuanku Abdul Rahman yang terpampang di muka hadapan surat khabar itu sedang mengenakan songkok milik Mustafa yang diserahkan olehnya kepada orang kanan Tuanku suatu masa dahulu. Tambah mengejutkan Mustafa apabila dia menerima surat dari Tuanku Abdul Rahman. Namun surat itu tidak pernah ditunjukkan kepada sesiapapun oleh Mustafa termasuk Chong Lee mahupun seluruh keluarga Mustafa hingga kini.

Mendengar kisah kisah kehebatan ayah mereka bersama songkoknya membuatkan Daris dan Iwan sedar bertapa bermaknanya songkok dalam hidup ayah mereka. Daris dan Iwan mulai insaf.
Kumpulan mat rempit akhirnya menunjukkan rasa protes mereka pada Mustafa dengan cara membakar kedai songkok milik Mustafa. Akhirnya berita kebakaran itu tiba juga ditelinga Mustafa. Dengan cemas Mustafa tiba dikedainya yang hampir separuh dijilat api. Mustafa sedih melihat bencana yang menimpa kedainya itu. Namun seraya teringatkan sesuatu yang berharga yang berada dalam kedainya itu, Mustafa tanpa berfikir panjang terus merempuh masuk kedalam kedai itu. Wu yang melihat keadaan itu terus cuba menyelamatkan Mustafa lalu turut sama masuk kedalam kedai yang semakin dijilat api itu.
Chong Lee, Daris, Iwan, Ziaton, Zara dan orang kampung tiba kemudian ditempat kejadian dan masing masing cuba membantu. Namun sudah terlambat apabila mereka terlihat Wu membawa keluar sekujur tubuh yang tidak bernyawa lagi iaitu mayat Mustafa yang kelihatan sedang memeluk songkok yang hampir terbakar hangus ditangannya. Daris , Iwan , Ziaton, Zara, Chong Lee meratapi kematian Mustafa itu. Wu menyatakan bahawa Mustafa mahu menyelamatkan songkok kesayangannya dari terbakar namun akhirnya telah mengakibatkan dirinya yang terkorban.

Setelah selesai upacara pengkebumian Mustafa kesemua yang hadir semakin beransur pulang dan hanya meninggalkan anak anak dan isteri Mustafa di sisi kubur Mustafa itu. Daris menangis sambil memeluk songkok yang cuba diselamatkan oleh arwah ayahnya itu. Namun tiba tiba sepucuk surat jatuh dari dalam songkok itu. Kesemua mereka hairan. Daris membuka perlahan surat itu lalu membacanya. Dia terkejut apabila mendapati surat itu datangnya dari Tuanku Abdul Rahman yang menyatakan terima kasih kepada Mustafa kerana bantuan dan sokongan yang diberikan oleh Mustafa. Dan beliau menyatakan bahawa beliau berbangga bahawa seorang pembuat songkok seperti Mustafa sanggup berjuang bersamanya memerdekakan tanah melayu dari terus dijajah.
... ...

DOA KE SYURGA


Skrip ke 57

Tajuk Drama: DOA KE SYURGA
Pengarah: Jurey Latiff Rosli
Penulis Skrip: Adza Irdawati Adenan
Pelakon: Hanis Kamal, Raihan Kamal, Puteri Fatin Nasuha, Rozie Rashid, Esma Daniel
Terbitan: World Evolution Brain
Siaran: Telah disiarkan pd 29 Okt 2010 @ RTM1

Drama ini saya dedikasikan kepada Allahyarhamah ADZA SUZYRIANI ADENAN" 1978-1994

Al Fatihah..

SINOPSIS
Kisah berlaku di sebuah kampung bernama Sg Choh terletak di Rawang Selangor. Penduduk majorotinya berangsa Melayu Bangkahulu. Namun terdapat juga bagsa Cina dan India dalam kelompok yang agak besar di situ. Penduduk di Kampung Sg Choh memang peramah dan saling menghormati di antara satu dengan yang lain.

Cikgu Zainuddin seorang guru yang dihormati di kawasan tersebut. Dia mempunyai seorang isteri bernama Zabedah juga seorang guru dan tiga orang anak. Yang sulung dalam tingkatan lima bernama Anuar, Zarina anak yang kedua dalam tingkatan 4 manakala anak bungsunya bernama Kamal berusia 12 tahun.. Sedari lahir Kamal mengidap penyakit HAHD (Attention-Deficit Hyperactivity Disorder ).

Kerana penyakit tersebut, Kamal sering di jadikan bahan jenaka. Orang kampung memang telah masak dengan perangai Kamal. Sering kali Kamal merayau sendirian dan di kala malam ada sahaja orang kampung yang menghantarnya pulang. Bukannya niat Cikgu Zainuddin mahu melepaskan tanggung jawabnya menjaga Kamal. Merka tidak sanggup mengurung Kamal seperti orang tebusan di rumah. Hanya satu tabiat Kamal yang sukar untuk di bendung. Kamal pantang berjumpa denga sungai. Dia pasti berendam dan bermain air di sungai berdekatan dengan estate ladang getah.

Namun kehadiran Kamal di sebuah jeram amat tidak di senangi oleh beberapa kanak-kanak nakal yang sering bermain di kawasan tersebut. Kamal sering di buli dan di perbodohkan oleh mereka. Ijat, Ah Kit dan Rama memang terkenal kerana kedegilan dan kenakalan mereka.

Berdekatan denga estate terdapat sebuah kuil hindu. Bila lapar sahaja Kamal dengan tidak segan silu akan meminta seorang Sami Mutu sedikit makanan. Sami Mutu kadang kadang merasa risau kerana Kamal sering datang ke kuil tersebut dan ramai yang agak kurang senang dengan kehadirian Kamal. Ahkirnya Kamal di larang menghampiri kuil tersebut kerana takut Kamal akan melakukan apa-apa kerosakan di situ. Mereka juga mengesaki bahawa Kamal mencuri kasut di kuil tersebut. Namun sebenarnya Kamal di peralatkan oleh Ijat, Ah Kit dan Rama.

Sami Mutu bertemu dengan Cikgu Zainuddin. Dia menasihati Cikgu Zainuddin supaya menasihatkan dan menjaga anaknya dari menghampiri kawasan suci mereka. Cikgu Zainuddin akur. Kini dia terpaksa mengawasi anaknya dari tidak ke kawasan kuil tersebut. Cikgu Zainuddin telah mengarahkan Anuar dan adiknya Zarina untuk menjaga Kamal.

Kerana terpaksa Anuar terpaksa membawa Kamal kemana sahaja dia pergi. Setiap petang Anuar akan pergi ke rumah Tauke Loy. Dia sering belajar bersama anak Tauke Loy iaitu Steven Loy. Ruamh Taukey Loy pola berdekatan dengan sebuah tokong Cina. Setiap petang juga tokong tersebut akan membuat latihan gendang Cina. Kerana leka berlajar bersama Steven, Kamal di biarkan bermain sendirian di luar rumah.

Kamal mula tertarik dengan bunyi-bunyi gendang lantas masuk ke dalam tokong tersebut. Kamal mulai mengganggu latihan. Bukan itu sahaja, Kamal dengan tidak sengaja telah menjatuhkan sebuah tembikar antik sehingga pecah sewaktu melihat mereka berlatih. Akibat dari itu Anuar terpasa membawa Kamal pulang. Kerana simpati Tauke Loy membayar ganti rugi bagi pihak Kamal.

Cikgu Zainuddin tiada pilihan. Dia mulai hilang sabar. Dia terpaksa merantai kaki anaknya walaupun dia berat untik berbuat demikian.

Master Lim, jurulatih seni gendang Cina mulai serba salah bila terlihat Kamal di rantai. Dia tidak mahu kerana kejadian tesebut, Kamal di perlaku seperti itu. Master Lim bertemu dengan Cikgu Zainuddin. Master Lim juga menawarkan dirinya untuk mengajar Kamal bermian gendang kerana Kamal begitu minat terhadap alat gendang Cina. Begitu juga dengan Sami Mutu. Sami Mutu dan memohon supaya Cikgu Zainuddin melepaskan Kamal. Dia berjanji jika Kamal datang, dia akan menjaga Kamal sebaiknya.

Namun Cikgu Zainuddin enggan. Dia risau jika Kamal terus mengganggu mereka semua. Zarina dan Anuar merasa simpati melihat Kamal di rantai. Akhirnya mereka mengambil keputusan melepaskan Kamal.

Sedang Anuar dan Zarina leka dengan kerja rumah masing-masing, Ijat datang dan mengajak Kamal bermian di sungai. Memang sudah lama Kamal tidak bermain air di sungai. Kamal yang lurus bendul kemudian mencuri keluar dari rumah.

Tiba di kuil, Ijat, Ah Kit dan Rama menyuruh Kamal mencuri kasut di luar kuil. Namun bila dia menuju ke arah Ijat, sekumpulan pengunjung kuil mengejar mereka. Kamal lari mengikut Ijat, Ah Kit dan Rama. Mereka menuju kearah sungai. Kerana takut, Ijat, Ah Kit dan Rama terjun ke dalam jeram. Lazimnya mereka tidak terjun ke tangah dan hanya bermain di terbing kerana air sungai yang dalam. Namun kerana ketakutan mereka semua terjun ke kawasan yang paling dalam.

Ketiga-tiga mereka terkapai-kapai lemas. Kamal turut terjun ke sungai. Kelebihan yang ada pada Kamal, dia mampu berenang. Kamal menyelamatkan kesmua mereka dari lemas. Namun kerana belari dan berenang, kaki kamal kekejangan. Akhirnya Kamal lemas. Mujur orang kuil datang dan menyelamatkan Kamal. Namun kamal telah banyak terminum air dan paru-parunya telah di masuki air.

Kamal kemudan di bawa ke hospital. Pada malam itu juga, sekumpulan sami India dan juga sami Budha berkumpul di depan rumah Cikgu Zainuddin dan berdoa dengan cara mereka meminta tuhan memanjangkan umur Kamal. Dalam masa yang sama juga di surau satu sembahyang hajat di lakukan meminta agar Tuhan memanjangkan umur Kamal. Namun Kamal telah menghembuskan nafas terakhir sewaktu di hospital.

AKU BUDAK KAMPUNG


Skrip ke 56

Tajuk Drama: AKU BUDAK KAMPUNG
Skrip Oleh: Adza Irdawati & Martias Ali
Arahan & penerbit: Jurey Rosli
Pelakon: Qazeem Nor, Joey Daud, Munir Phineballerz dll
Terbitan: World Evolution Brain Sdn Bhd

SINOPSIS

Kisah bagaimana dua sahabat telah mengiklankan untuk mencari seorang teman serumah apabila mendapati sewa rumah mereka telah dinaikkan. Muncullah Halim seorang budak kampung yang baru mendapat kerja di Kuala Lumpur mengisi kekosongan rumah tersebut.

Rem dan Poji merupakan dua sahabat baik danmereka semua dibesarkan di Kuala Lumpur. Kehidupan mereka social dan liar. Rem gemar berlumba haram manakala Poji pula gemar dengan aliran muzik underground.

Sukar bagi Halim dan dua sahabat ini untuk bersama. Halim sering ditertawakan kerana sikap kekampungannya itu. Namun Halim cuba berdamping dengan mereka tanpa memperlecehkan kelakuan mereka. Halim masih berpegang dengan jati diri anak melayunya serta berpaut teguh kepada ajaran Isalm.

Lama kelamaan mereka dapat juga menerima kehadiran Halim di dalam rumah tersebut. Satu persatu asaalah yang di alamai oleh mereka cuba Halim selesaikan. Walupun ia budak kampung namun dia bukan seorang yang bodoh tak berpelajaran. Berperwatakan kampung dan merendah diri adalah kunci kejayaan Halim.

Tanpa mereka sedari sebenarnya Halim memiliki Master dari sebuah universiti terkemuka di luar negara. Bukan itu sahaja, Halim bijak dalam bidang permotoran serta mampu bermain alat muzik dengan baik. Semua itu tidak pernah ia tonjolkan kepada sesiapa pun. Bagi mereka Halim amat daif akan semua itu. Sembahyang lima waktu tidak pernah Halim abaikan sama sekali.

Halim sering pergi berlumba haram di hujung minggu. Kerana cabaran dari kawan-kawannya Rem telah sanggup bertaruh wang ringgit yang banyak. Namun akhirnya Rem tewas dan terpaksa membayar sejumlah wang yang banyak kepada pencabarnya. Lebih malang lagi apabila motosikal Rem telah di rosakkan oleh pencabarnya.

Hanya Poji sahaja yang mampu membantu Rem untuk melunaskan wang kekalahan Rem. Kebetulan Poji mendapat tawaran untuk bermain muzik di satu majlis. Namun malang tidak berbau. Poji mengidap demam panas.

Halim kemudian menawarkan diri untuk mengantikan tempat Poji. Mereka tergamam apabila mendapati Halim begitu bagus bermain gitar sehingga dia mendapat pujian dari kwan-kawan Poji. Rem dan Poji merasa malu kerana sering mengutuk Halim. Lebih memeranjatkan apabila Halim berjaya membaiki motosikal Rem.

Kini mereka semua menghormati Halim dan mulai tidak memadang rendah terhadap keupayaan orang kampung seperti Halim.

Drama Bersiri "LORONG"


Skrip ke 55
Tajuk Drama : LORONG
Durasi: 13 Episod
Skrip Oleh: Adza Irdawati & Martias Ali
Arahan & Penerbit: Jurey Rosli
Terbitan: World Evolution Brain Sdn Bhd
Siaran ASTRO RIA 2010


Sebuah drama bersiri bergenrekan seram, suspen dan penyiasatan dan telah pun ditayangkan di Astrp Ria pada tahun 2010

Sunday, December 19, 2010

BUKU LAMA DIARI BARU


Skrip ke 19

Tajuk Drama: Buku Lama Diari Baru
Genre: Komedi
Skrip Oleh: Martias Ali & Adza Irdawati
Pengarah : Asmad
Siaran : RTM (2006)


SINOPSIS
------------
Tibanya hujung tahun dan menjelangnya tahun baru 2006. Samad seorang peniaga kecil kedai runcit mulai mengemas kini buku akaunnya untuk tahun 2005 bagi mengira untung rugi perniagaannya itu. Setelah di semak semula ia mendapati banyak hutang tertunggak dari para pelanggannya. Walaupun hutang mereka sedikit untuk satu-satu hari tetapi setelah di congak jumlah hutang mereka keseluruhannya ia mendapati jumlah tersebut terlalu banyak.

Ekoran dari itu Samad bercadang untuk membuat satu resolusi tahun baru iaitu tidak membenarkan pelanggan-pelanggannya membeli barang secara hutang selagi hutang mereka tidak di jelaskan lagi. Samad bersetuju dengan cadangan anaknya Wani untuk mengeluarkan surat INVOIS kepada setiap pelanggan-pelanggannya yang berhutang dengannya. Secara tidak langsung Wani kini menjadi agen pengutip hutang di mana Wani bakal menerima 20% dari hasil kutipan tersebut kelak.
Terdapat 3 pelanggan utama yang berada di dalam kedudukan kritikal iaitu Pak Yahya, Makcik Gayah dan Kak Linda.
Pak Yahya mempunyai hutang sebanyak RM 758.46. Pak Yahya tiba di kedai samad untuk membeli barang tetapi Samad menyuruh ia bertemu Wani dahulu di satu kaunter khas yang telah di sediakan. Wani kemudiannya memberikan INVOIS kepada Pak Yahya. Pak Yahya amat terkejut dengan jumlah yang tertera di dalam INVOIS tersebut dan menuduh Samad dan anaknya sengaja mengada-adakan jumlah tersebut. Wani lantas membuka buku hutang dan menceritakan satu persatu barang-barang yang di ambil oleh Yahya dari awal tahun sehingga kehari ini. Namun ada sesetengah barang yang di ambil itu di ambil oleh isterinya tanpa pengetahuan Pak Yahya.

Wani memberi tempoh sehingga awal tahun baru untuk Pak Yahya untuk menjelaskan hutang-hutang tersebut sebelum ia mengenakan 10% faedah atas kelewatan pembayaran itu kelak. Pak Yahya kemudiannya menceritakan kepada isterinya Mak Dara akan syarat baru Samad. Mak Dara jadi berang lantas mencari buku-buku lama yang mengandungi hutang Fauziah (Isteri Samad) yang merangkumi hutang kain, hutang kuih raya, hutang urut dan hutang tempahan baju. Namun Fauziah berkeras dengan mengatakan bahawa semua hutang tersebut telah lama Mak Dara halalkan.

Wani kini menjadi pening kerana hutang ibunya melebihi hutang Pak Yahya di kedai kerana semua hutang-hutang tersebut tekumpul semenjak 5 tahun yang lalu.
Makcik Gaya pula berhutang sejumlah RM 556.90 dan kebanyakannya di gunakan sebagai modal untuk berniaga kuih dan nasik lemak. Makcik Gaya geram dengan tidakan Samad lalu menyuruh ia membayar semula harga lebihan kuih dan nasi lemak yang ia berikan hampir setiap hari

Samad tidak berpuas hati dengan kata-kata Makcik Gaya kerana semua kuih dan nasi lemak yang diberinya itu adalah lebihan dari kuih yang tidak habis dijual. Wani lebih bengang dengan makcik Gaya bila mana ia mendapati surat INVOIS nya di jadikan bekas pembalaut nasi lemak sahaja.

Kak Linda seorang Janda muda banyak mengambil barang tanpa membayar wang kepada Samad. Ini lebih memeningkan Wani kerana jumlah hutangnya hampir mencecah RM1,400. Sedang Wani cuba menghantar INVOIS tersebut, Samad melarang Wani. Ini menyebabkan Wani mengesaki ayahnya sedang memasang umpan untuk menggoda Kak Linda. Setiap bulan Samad akan memberi Kak Linda membli apa sahaja sehingga RM 100 secara hutang.

Perkara tersebut terus di sampaikan kepada ibunya Fauziah. Fauziah menjadi marah dan sanggup menemani Wani menagih hutang dari Kak Linda. Mereka berdua tidak ubah seperti Ah Long yang menagih hutang dari pelanggannya. Namun lebih menghairankan apabila Samad menyebelahi Kak Linda.

Fauziah menjadi marah dan mulai menuduh Samad bermain kayu tiga. Samad serba salah untuk menceritakan segala-galanya. Kekecohan mulai berlaku namun segala-galanya terlerai apabila Samad menceritakan bahawa Kak Linda merupakan agen pembekal ubat tongkat ali yang ia amalkan setiap hari tanpa pengetahuan Fauziah. Samad membayar harga ubat tersebut secara “butter trade” dengan Kak Linda.

Bila masuknya tahun baru, Samad membuang buku lamanya dan menggantikan dengan yang baru. Namun segala urutan tahun yang lalu sama sahaja. Pak Yahya masih meminta hutang, Mak Gaya masih memberikan lebihan kuih dan nasi lemak kepada mereka.

Cuma satu sahaja yang berubah, kaunter Wani kini menjadi storkis menjual ubat tongkat ali di mana Wani dan Kak Linda menjadi rakan kongsi dan juga ibu tiri barunya. Bermulalah diari baru dalam kehidupan Samad di mana ia kini berbini dua.

Saturday, December 18, 2010

CUCI CUCI SERVICES


Skrip ke 49

Drama : CUCI CUCI SERVICES
siaran : Setiap hari Rabu
Waktu : 9:30 malam di RTM2
Arahan : HARUN SALIM BACHIK
Skrip : MARTIAS MOHD ALI ADZA IRDAWATI M F KENCANA
Terbitan : HANS ISAAC - TALL ORDER SDN BHD.

SINOPSIS "CUCI CUCI SERVICES"

SELEPAS filem Cuci diikuti dengan Cuci The Musical di Istana Budaya (IB) yang mana pementasannya tamat minggu lalu, kini Cuci Cuci Services meneruskan 'perkhidmatannya' di TV2, setiap Rabu, jam 9.30 malam.

Drama bersiri komedi itu diterbitkan sebanyak 26 episod dan sudah mula disiarkan pada 11 November lalu. Sesuai untuk tontonan sesi keluarga drama komedi Cuci Cuci Services arahan Harun Salim Bachik itu memang diadaptasi daripada filem Cuci.

Drama ini mengisahkan bagaimana Jojo, Fairil, C’Tan dan Khai terpaksa mencari pekerja baru untuk menjalankan kerja-kerja mencuci setelah perniagaan perkhidmatan mereka mendapat sambutan yang hangat.

Mereka bercadang mengadakan sesi temu duga untuk mencari calon sesuai dengan tugas yang ditawarkan. Akhirnya empat pemuda dipilih untuk bekerja di bawah pengawasan mereka iaitu Mikail, Iman, Hasbullah dan Syukri.

Apa yang menariknya ialah keempat-empatnya mempunyai sikap yang hampir sama dengan pengasas syarikat tersebut. Setiap pagi mereka diberi taklimat mengenai kawasan atau tempat yang mereka harus bekerja. Di setiap tempat yang mereka pergi itu pasti terdapat beberapa kejadian yang tidak disangka seperti bertemu hantu tempat bersama kekasih lama dan sebagainya. Ini menjadikan kerja dan pengalaman mereka diwarnai dengan pelbagai aksi lucu, sedih dan gembira sehingga mereka menjadi sahabat yang baik.

Memperkenalkan Hans Issac dan Harun Salim Bachik memegang watak sebagai pencuci dalam Cuci - Cuci Services, pastinya penonton tidak kering gusi dengan aksi lucu serta lakonan mereka. Turut menampilkan pelakon yang tidak kurang hebat antaranya, Joey Daud, Zed Zaidi, Beego, Syariman Yaakob, Faizal Husein dan Fasha Sandha

 

Pelakon : Joey Daud, Zed Zaidi, Beego, Syariman Yaakob, Faizal Husein dan Fasha Sandha